Pagi rabu, aku bersiap seperti biasa untuk memulakan hari sebagai pelajar intern kerana ketika itu aku sedang membuat latihan industri di sebuah syarikat kerajaan. Sampainya di tempat kerja, aku tidak tahu mengapa mood aku pada ketika itu tidak ceria seperti hari-hari biasa di tempat kerja. Selalunya aku seronok untuk datang bekerja kerana suasana di tempat kerja latihan industri aku dahulu agak seronok dikelilingi dengan orang-orang yang sangat ceria dan kelakar. Tetapi aku tidak tahu mengapa aku tiada mood untuk bekerja kerana hati dan perasaan aku mengatakan bhawa akan ada sesuatu yang tidak kena.
Sedang aku duduk dan bermain komputer, tiba-tiba aku menerima satu panggilan telefon daripada ayah. Waktu itu aku dah rasa tak sedap hati, apa yang aku mampu buat adalah berdoa dalam hati dan berharap tak ada apa-apa yang berlaku. Tak lama kemudian, aku mengangkat call ayah dan aku terkejut. Ayah hanya memberitahu aku, "adik, boleh balik sekarang? Kejap lagi ayah ambil. Busu dah meninggal." Selepas ayah bagitahu berita itu, aku terkejut dan otak aku blank. "Ya Allah! Betul ke ni?" Ya! Hanya itu yang bermain dekat fikiran aku masa itu. Buat pertama kalinya aku menangis di depan pekerja-pekerja situ. Perasaan malu semua aku tolak tepi sebab aku tak dapat menahan sedih tatkala Tuhan telah menarik nyawa seseorang daripada keluarga besar kami. Satu-satunya adik ayah yang tinggal.
Beberapa jam kemudian, tepat pukul 12:30 tengah hari, ayah mengambil aku di tempat kerja sesudah aku diberi keizinan daripada boss untuk keluar kerja. Aku menahan sedih kerana aku bukanlah seseorang yang menunjukkan kesedihan aku di hadapan keluarga aku sendiri kerana mereka tahu aku seorang yang ceria di rumah, kuat membebel. Kami meneruskan perjalanan ke Hospital Serdang untuk melihat arwah busu buat kali yang terakhir.
Sampainya kami di hospital, aku melihat saudara mara, nenek semua menangis kesedihan, berpelukan dan akhirnya aku diberi peluang untuk melihat sendiri tubuh arwah busu yang terkaku dan pucat. Aku menangis. Ya, menangis yang tidak berhenti seperti terbayang kehilangan ibu ayah sendiri. Aku sedih kerana melihat tubuh seorang insan yang menjaga dan melihat aku membesar, tidak bergerak dan hanya baring selepas dimandi dan dikapankan oleh ayah aku sendiri. Sesampai aku di hospital sehingga lah dikebumikan, aku tidak berhenti menangis.
Melihat arwah busu daripada aku kecil, ketika dia sakit sehinggalah dia meninggalkan kami, aku tidak dapat bayangkan macam mana kalau ibu atau ayah aku sendiri yang pergi meninggalkan aku dalam usia aku yang muda. Melihat semua pengorbanan yang diberikan, aku sering berfikir macam mana aku ingin membalas semua kebaikan dan pengorbanan mereka untuk bagi kebahagiaan kepada mereka. Seperti arwah busu, sakit mana pun arwah kena bertarung, pemgorbanan dan kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya tidak pernah dilupakan.
Arwah busu sudah lama ada penyakit kencing manis dan masalah jantung dalam pernafasan. Setiap perjalanan hidupnya ketika sakit, beliau selalu keluar masuk hospital untuk memudahkan keadaan kerana dia juga mempunyai masalah pernafasan dan memerlukan saranan dan nasihat doktor. Genap tanggal 6 Disember 2018, telah masuk setahun pemergiaan arwah busu dan aku sentiasa berdoa agar arwah tenang di sana.
Busu..
Terima kasih kerana telah membuat kami ketawa sepanjang busu hidup. Terima kasih atas segalanya. Aku tidak akan pernah lupa segala kenangan sewaktu busu hidup dan kami hanya dapat panjatkan dan sedekahkan Al- Fatihah dan doa dari sini buat busu disana.
Al Fatihah, Mohd Yusni Johan
(30 April- 6 Disember 2017)
Comments
Post a Comment